Thursday, October 17, 2013

Satu

Satu -i


Dia pandang aku. Aku pandang dia. Buntu. Kami duduk saling mengadap antara satu sama lain.

Kami jarang begini sebenarnya. Diam tanpa bicara.

Kotak sigaret aku capai, dan ambil sebatang. Hujungnya aku cucuhkan dengan mancis dan aku sedutkan asap dalam-dalam -memenuhi seluruh rongga badan, lalu lepaskan nipis.

"Sampai bila mahu begini?"

Soalan dia aku diamkan. 
Tak ada apa yang perlu aku jelaskan, sebenarnya.

"Dia dah lama pergi. Dah lama tinggalkan kau. Sampai bila mahu begini?" 

Diam.

"Degil."

Diam. Masih.

"Teruslah rosakkan hidup kau. Dia tak pernah peduli pun pasal kau,"

Diam. Lagi.

"Move on. Cari pengganti. Yang boleh sayang kau. Yang boleh jaga kau."

Aku pandang dia semula. Mata dia aku tenung tajam-tajam. Dan perlahan aku kata,

"Beritahu aku, kawan. Beritahu aku, gadis mana yang mampu gantikan dia. Gadis mana yang mampu jadi sehebat dia. Gadis mana yang mampu sayangkan aku seperti mana dia sayangkan aku dulu.. beritahu aku, kawan. Siapa?"

Kali ini, dia pula diam.

Sudah aku katakan, kan?

Kau yang tak pernah faham.


***

Satu -ii


Aku pandang dia. Dia pandang aku. Buntu. Kami duduk saling mengadap antara satu sama lain.

Kami jarang begini sebenarnya. Diam tanpa bicara.

Tak lama kemudian, dia capai kotak sigaret, dan ambil sebatang. Tak sudah-sudah. Aku hanya biarkan, malas mahu bertekak. Lama sedikit, aku mulakan bicara.

"Sampai bila mahu begini?"

Dia, masih dia. Tunduk, dan hanya biarkan sepi soalan aku.

"Dia dah lama pergi. Dah lama tinggalkan kau. Sampai bila mahu begini?" 

Dia, masih lagi diam.

"Degil." Kali ini aku katakan sedikit keras.

"Teruslah rosakkan hidup kau. Dia tak pernah peduli pun pasal kau," sambung aku, seakannya mengejek.

Diam. Lagi.

"Move on. Cari pengganti. Yang boleh sayang kau. Yang boleh jaga kau."

Usai sudah, dia pandang aku semula. Masih dengan renungan yang tajam, tapi paling aku rindukan. Dan perlahan dia kata,

"Beritahu aku, kawan. Beritahu aku, gadis mana yang mampu gantikan dia. Gadis mana yang mampu jadi sehebat dia. Gadis mana yang mampu sayangkan aku seperti mana dia sayangkan aku dulu.. beritahu aku, kawan. Siapa?"

Kali ini, aku pula diam.

Aku mampu, kawan, aku mampu.

Kau yang tak pernah nampak.


.END.

2 comments:

Unknown said...

aku ingat ini pasal lelaki A meluahkan rasa kecewa dia kepada lelaki B. end up aku buat kesimpulan ini cerita gay. aku baca dua kali ni baru aku faham. cis

Anonymous said...

bagitau kita jugak bang heroiqzeroiq macam mana untuk orang berhenti suka dia. hihi


peminat tegar dia.