Thursday, October 31, 2013

Hanna


Pernah aku ceritakan pada kamu tentang bagaimana aku ketemu Hanna? Belum? Sini, aku ceritakan. Bagaimana mahu mula ya?

Hanna, orangnya mudah. Wajahnya manis, kacukan Melayu-Siam. Aku pun tidak berapa pasti. Dia bilang, ibunya memang berasal dari sempadan Thai, jadi hujahnya aku terima. Susuk tubuhnya juga elok. Kalau ikut ruang fikir paling nakal antara kita, wajar saja untuk kata, susuknya ‘sedap-sedap’. Pada aku, dia persis anak cina. Matanya sedikit sepet, tetapi masih cantik. Yang paling penting, dia masih belum berpunya.

Ada dulu aku tanya, apa dia tidak pernah teringin mahu jadi milikan orang? Jawabnya ringkas. Buat apa mahu jadi milikan orang jika kau mampu untuk memiliki orang lain. Aku kira, itu jawapan yang baik. Jadi aku lanjut bertanya, siapa yang kau mahu miliki? Kali ini, dia tidak menjawab apa.

Pertemuan pertama kali kami berlangsung di sebuah kedai serbaneka 24 jam berdekatan rumah aku. Sekitar tiga tahun lepas. Jam dua pagi. Aku di rumah, dan sukar untuk tidur. Puas aku mengiring ke kanan, ke kiri, ke tengah dan semuanya di atas ranjang, mata masih belum mahu pejam. Sudahnya aku capai kunci kereta dan terus bergerak ke kedai serbaneka, beli sekotak sigaret.

Usai beli, aku tidak terus pulang. Aku bakar sebatang dulu dan mahu merasa kesejukan angin malam. Pandangan aku akhirnya beralih ke seorang gadis yang sedang duduk di tepi jalan, berdekatan dengan kedai tersebut. Entah apa yang dia buat keseorangan di waktu begini, aku pun tak tahu.

Aku lantas mendekatinya, dan duduk di tepi. Dia seolah tidak mempedulikan tindakan aku. Batang sigaret itu aku hisap dan asapnya aku hembuskan nipis. Dia masih lagi diam. Matanya meliar ke hadapan jalan, menangkap gelagat kucing dan tikus main kejar-kejar. Sesekali ada terukir senyum di hujung bibir.

“Lama di sini?” akhirnya terluah juga, memecah kesunyian. Perlahan dia menoleh ke arahku dan membalas, “Aku Hanna. Kau?”

Dan sejak itu, kami kerap ketemu di tepi jalan berdekatan kedai serbaneka itu. Kami tidak pernah berjanji apa. Kalau saja aku tidak boleh tidur, aku akan ke kedai tersebut dan jika bernasib baik, dia juga akan ada di situ. Sengaja dibiarkan agar pertemuan itu begitu. Kata Hanna, begitu lebih menarik. Seolahnya bermain dengan nasib.

Bicara aku dengan Hanna, tidak banyak. Hanya berkisar sedikit soalan peribadi, tentang dia, tentang aku. Cuma yang buat aku tertarik dengan gadis kacukan ini ialah, gaya dia bicara. Umurnya aku agak hanya setahun dua lebih muda dari aku, tapi ada sesuatu yang lain. Mungkin juga aku mudah tertarik dengan gadis yang bijak dan petah bicara?

Lelaki dan perempuan, takkan pernah berkawan.- Hanna.

Aku tanyakan, kenapa? Jawabnya ringkas, mustahil bagi dua jiwa untuk saling mesra bicara, tanpa melibatkan perasaan. Aku tidak setuju. Jadinya, pasti mudah begitu, bukan? Pasti mudah. Jika keduanya saling punya perasaan, jadi teruskan sahaja. Lepasi batasan kawan. Mendengar jawapan aku, dia kembali tersenyum. Ya, memang mudah, memang gampang. Tapi bagaimana pula jika hanya sebelah jiwa sahaja yang rasa begitu? Bagaimana jika sebelah lagi jiwa tidak merasakan apa?

Aku akui, itu rumit. Tapi, pada aku, itu dosa sebelah jiwa yang menaruh perasaan. Bukan dosa sebelah jiwa yang tidak merasakan apa itu. Saat itu, dia sandarkan kepala ke bahu aku dan hanya berkata yang, jiwa itu taruhnya perasaan kerana hatinya sedang jatuh. Dan jatuh hati itu bukannya satu dosa. Jatuh hati itu bukan boleh disuruh-suruh. Ianya terjadi dan hanya terjadi. Dalam keadaan yang kau paling tidak jangka, ketika itulah hati akan jatuh. Ianya kejam, bukan?

***
Seingat aku, itu adalah kali terakhir aku ketemu Hanna. Selepas malam itu, aku tidak lagi terserempak dengannya, di tempat yang sama. Dan malam ini, tika aku tidak boleh tidur, aku kembali teringatkan dia. Mungkin permainan kami dengan nasib, sudah sampai penghujungnya.


.END.

2 comments:

asip محمد said...

perempuan macam hanna ni elok mampus je dari menyusahkan hati hati lapar ni..

Unknown said...

then why la lelaki tu tak make move dlu? sapa tau Hanna sudah penat tunggu action drpd lelaki tu? slowpoke betul!

dan kenapalah perlu sign in dulu baru boleh komen? bencilah