Monday, October 28, 2013

BVJ5030

Tepat pukul sembilan malam, punggung lebar Aizuddin melekat pada kerusi plastik sebuah restoran India muslim. Membaca sesuatu dari telefon bimbit dan kemudian menyimpannya kembali ke dalam man-handbag kulit berwarna coklat.

"Woi Romok lama tak nampak?" sapa seseorang sambil menepuk bahu Aizuddin. Sedikit tersentak lalu dia menoleh.

"Aku kemain besar ni, kau boleh tak nampak? gila!" ketawa Aizuddin mengiyakan panggilan Romok ke atas dirinya. 

"Duduk dulu bro," pelawa Aizuddin. Kedua-dua mereka cuma tersenyum pendek selepas meminta seorang pelayan berbangsa Pakistan menyediakan mereka dua gelas teh tarik dan sekotak Winston merah. 

Perlahan Aizuddin mengetuk kotak merah berbalut plastik itu. Habis puas dia menghempas-hempas kotak rokok itu ke atas meja. Dengan lagak gaya seorang gangster, mengoyak plastik balutan dengan begitu eksyen sekali. Meletakkan sebatang rokok di hujung bibir dan terus meraba pemetik api didalam kocek seluarnya. Diacu tepat pada hujung rokok. Merah menyala tembakau yang dibalut kertas putih itu. 

Belum selesai sedutan pertama, dipelawa kotak merah itu kepada rakan semeja dengannya. "Nah!"

Melihat perlakuan Aizuddin cepat rakannya menegur, "Slow and steady je kau eh? Nak berasap pun macam nak memancing."

"Ini barulah Amerika bro," kata Aizuddin. Tersedak rakan Aizuddin mendengar jawapan bersahaja dari dia. Cepat-cepat dia menghirup teh tarik kononnya boleh melegakan rasa sesak tersedak asap tadi. 

"Jangan gelojoh bro, rilek." tegur Aizuddin tersenyum nipis.

Baru membuang sedikit abu dari hujung rokok ke dalam bekas abu rokok, Aizuddin sedikit berkerut dahinya melihat rakannya seakan kelam kabut mahu bangun dari tempat duduk dan memasukkan sesuatu kedalam poket jaketnya. "Handphone," getus Aizuddin. 

"Okaylah kawan, aku ada benda nak buat ni. Aku minta diri dululah," jelas rakan Aizuddin sambil mengeluarkan dompet. "Trimas untuk win ni," sambungnya lagi sambil menunjukkan rokok diantara dua jari beliau.
"Kau balik lewat ke?" tanya Aizuddin.
"Eh taklah, kau dah kenapa?" rakan Aizuddin dengan wajah sedikit terkejut dan terus ketawa seakan itu satu persoalan kurang pandai dari Aizuddin.
"All right bro, take care. Hati-hati," Aizuddin cuma tersengih. Entah apa yang diselindungkan dari dia.

Sebuah kereta Myvi biru meluncur laju keluar dari kawasan parkir restoran As-Salam. BVJ5030.

*****

Apartmen Kasturi Heights. Jam menunjukkan pukul sebelas tiga puluh empat minit malam. Aizuddin jelas tidak keruan. Masih lagi menghembus asap di mulut. Sudah separuh isi kotak Winston dikerjakan Aizuddin sejak di restoran tadi.

Sekarang dia sedang berdiri di hadapan sebuah pintu. Tertera di muka pintu 'A485'. Satu kombinasi susunan huruf dan nombor yang tidak aneh bagi Aizuddin. Sebuah pintu dimana dia berkenalan dan berjumpa dengan seorang gadis. Seorang gadis yang telah merakam gambar beliau sendiri dan meletakkan nombor telefon bimbitnya kedalam telefon bimbit Aizuddin dengan nama 'Makwe Aizu'. 

Aizuddin cuma berdiri kaku dihadapan pintu itu. Terlalu banyak yang difikirkan. 

Aizuddin memusingkan badannya menoleh ke arah parkir. Berdiri dia menongkat dagu di balkoni itu sambil tangannya laju menghalakan puntung rokok ke bibir. Habis sedutan terakhir, dilepaskan puntung itu ke lantai. Dipijak perlahan. 

Matanya tertancap pada sebuah kereta di parkir khas, BVJ5030. Dia tenang sambil kepalanya cuba mengingat khidmat pesanan ringkas tadi malam. Pesanan ringkas dari pemilik rumah dibelakangnya. "Malam ni tak boleh keluar, nak shopping dengan kawan-kawan bang. Jumpa esok kay?"

"Oh kawan eh? haha," gelak kecil Aizuddin. 

Nekad. Aizuddin menekan loceng rumah, tangannya kemas menggenggam sebilah parang tumpul. Dia masih tersenyum.

1 comment:

Ariff Masrom said...

Ni kalau dah power gini, aku tunggu juga bila nak keluar buku sendiri.